hamba yang hina

Name: Aku
rumah: Di dalam aku
hamba:Jalantrabas Jalan Yang Cepat Menuju Ilahi

 

KOLOM BERITA

 

ARCHIEVES

 

SHOUTBOX

 

Pengunjung

geovisite
geovisite

 

Links

 
 

Saturday 24 November 2007
SALAHUDDIN AL AYYUBI

Diriwayatkan setelah Sultan Salahuddin al-Ayyubi berjaya menawan kembali Baitul Muqaddis, beliau berjalan-jalan di sekeliling kota. Tiba-tiba beliau disapa oleh seorang lelaki tua beragama Kristian, katanya: “Wahai pahlawan agung, mengapa tuan tidak membalas semula tindakan kejam tentera salib terhadap tentera tuan?” Jawab Sultan Salahuddin: “Wahai orang tua, agama kami bukan sahaja melarang sifat balas dendam, tetapi sangat menegah tindakan di luar batas perikemanusiaan seperti yang pernah musuh-musuh kami lakukan. Islam menyuruh kami menepati janji, memaafkan kesalahan orang lain dan melupakan kekejaman pihak musuh ketika mereka berkuasa.”

Orang tua itu berkata lagi: “Alangkah indahnya agama tuan! Saya ingin sangat menikmati kehidupan yang indah seperti itu pada sisa-sisa akhir hidup ini. Apakah yang patut saya lakukan untuk memeluk agama tuan yang mulia ini?” Sultan Salahuddin menjawab: “Lafazkanlah syahadah, beriktikadlah bahawa Allah SWT itu Maha Esa dan Muhammad itu Rasul-Nya. Kemudian kerjakanlah apa yang Allah Taala perintahkan dan tinggalkanlah segala larangan-Nya.” Mendengar penjelasan itu, lelaki itupun terus mengucap dua kalimah syahadah dengan penuh keyakinan.

Siapakah Sultan Salahuddin al-Ayyubi ini? Apakah jasa beliau sehingga keharuman namanya menghiasi setiap bibir umat, bahkan sentiasa disebut oleh musuh-musuh Islam sehingga ke hari ini?

Beliau yang dimaksudkan ialah seorang tokoh pahlawan Islam dan raja yang gagah. Ketokohan Sultan Salahuddin al-Ayyubi dalam memimpin pasukan tentera merampas kembali Baitul Muqaddis (al-Quds) membuahkan kejayaan setelah penjajahan hitam selama 88 tahun. Malah kejayaan menghancurkan tentera Salib, terpahat dalam sejarah sebagai lambang kejayaan agung menundukkan musuh yang kejam.

Sultan Salahuddin Yusuf bin Ayyub bin Shadhi al-Ayyubi atau disebut juga Saladin di kalangan orang Eropah, merupakan anak seorang gabenor. Ayahnya bernama Najmuddin Ayyub bin Shadhi anak buah kepada Sultan Nuruddin Zengi, berketurunan Kurdistan.

Selain sebagai panglima perang, pendakwah, raja, mujahid dan tokoh pemimpin Islam bukan daripada kalangan bangsa Arab. Beliau telah dilahirkan pada 532 Hijrah bersamaan dengan 1137 Masihi di kota Tekrit, iaitu bahagian Tebing Barat Sungai Tigris, di antara Mosul dan Baghdad.

Tiada siapapun yang menjangka bahawa suatu hari nanti beliau akan mengembalikan semula Palestin dan menjadi pembela akidah Islamiah. Hal ini kerana pada awal kehidupannya, beliau banyak terpengaruh dengan godaan dan kesenangan dunia sehingga mengaburi pandangannya. Tidak ada sebarang tanda-tanda beliau akan menjadi pemimpin hebat ketika itu, malah beliau di besar dan dididik sama seperti anak-anak orang Kurdis biasa.

Sungguhpun begitu beliau berminat mempelajari ilmu sains, di samping seni peperangan dan pertahanan diri. Apabila meningkat dewasa Salahuddin al-Ayyubi mula berjinak-jinak dengan peperangan. Di sinilah detiknya bermula.

Allah SWT telah mentakdirkan beliau untuk menjadi pemimpin besar pada zamannya. Pada tahun 1169 Masihi, Asaduddin Shirkuh iaitu bapa saudaranya telah dilantik sebagai wazir di bawah naungan Kerajaan Fatimiyyah. Apabila bapa saudaranya meninggal dunia Sultan Salahuddin al-Ayyubi telah diangkat menggantikannya.

Antara kejayaan awalnya apabila beliau berjaya memadamkan pemberontakan dalam negeri dan turut berjaya menumpaskan serangan kerajaan Byzantine yang cuba untuk menakluki Kaherah. Pada tahun 1175 Masihi, Sultan Salahuddin al-Ayyubi telah dilantik menjadi Raja Mesir menggantikan raja terakhir dari dinasti Fatimiyyah yang mangkat ketika itu. Beliau memakai gelaran Sultan al-Malikun Nasir.

Sejak itu, Sultan Salahuddin al-Ayyubi mula merasai bebanan tanggungjawab sebagai seorang pemimpin. Corak hidupnya mula berubah dengan mengetepikan kesenangan hidup serta kemewahan harta. Malah beliau bertambah warak dan menjalani hidup dengan lebih berdisiplin dan sederhana. Beliau yakin bahawa Allah SWT telah mempertanggungjawabkan kepadanya satu tugas yang amat berat.

Beliau yakin bahawa tugas ini tidak mungkin akan terlaksana jika tiada roh jihad dan kesungguhan. Oleh sebab itu beliau telah menumpukan seluruh tenaga dan buah fikirannya dalam menyusun semula kekuatan dengan mencagarkan nyawanya sendiri.

Dalam Perang salib pertama berlaku pada tahun 1099 Masihi (490H) Waktu itu tentera Kristian memakai tanda salib di baju mereka sebagai simbol pemersatuan dan untuk menunjukkan bahawa peperangan yang mereka lakukan adalah suci.

Pada tahun 1187 Masihi (583H) berlaku pula perang Salib kedua, yang dikenali juga sebagai perang Hittin. Peperangan ini dipimpin sendiri oleh Sultan Salahuddin al-Ayyubi sehingga akhirnya membuka jalan mudah untuk menawan kembali Baitul Muqaddis. Pada tahun 1192 Masihi (588H) berlaku perang Salib ketiga hasil daripada dendam dan kekecewaan golongan pembesar-pembesar Kristian. Mereka berusaha merampas semula Baitul Muqaddis daripada tangan orang Islam. Perang Salib ketiga tersebut walaupun menggabungkan seluruh kekuatan dunia Kristian, namun tidak mampu menggoyangkan kekuatan tentera Sultan Salahuddin al-Ayyubi. Peperangan tersebut berlanjutan selama 5 tahun. Kali ini beliau hanya dibantu oleh beberapa pembesar, saudara mara dan tenteranya demi mempertahankan kehormatan Islam.

Sultan Salahuddin al-Ayyubi merupakan tokoh mujahid yang tidak pernah berputus asa mendidik umat. Menurutnya bahawa perjuangan yang berasaskan kaum atau bangsa, sekali-kali tidak akan membuahkan hasil. Sebaliknya perjuangan yang berpaksikan agama Islam sahajalah yang menjamin kejayaan yang gemilang.

Buktinya, tentera-tentera Islam yang berjuang datang dari pelbagai negara seperti Mesir, Mesopotamia, Syria, Kurds, Turkmans, tanah Arab dan dari berbagai tempat lain dan keturunan. Walaupun mereka berlainan bangsa dan etnik tetapi kekuatan roh jihad telah menyatukan mereka di atas jalan Allah SWT. Perjuangan mereka berhasil membebaskan Palestin.

Menurut penasihat kepada Sultan Salahuddin al-Ayyubi, Bahauddin bin Shaddad, beliau seorang panglima perang yang terkenal dengan keberanian yang luar biasa. Katanya beliau lebih banyak berada di dalam khemah perang daripada duduk di istana bersama isteri dan anak-anaknya. Kesungguhan, semangat dan ketahanan jihadnya, mampu mendorong beliau untuk turun sendiri ke kawasan perkhemahan tentera musuh bersama-sama perisiknya.

Beliau juga seorang yang sangat warak dalam beribadah, sehingga digambarkan seolah-olah seorang abid di waktu malam, dengan zikir dan munajatnya kepada Allah SWT. Siangnya seperti singa yang tangkas berjuang di medan pertempuran. Solat berjemaah dan puasa sunat adalah rutin harian yang tidak pernah ditinggalkan.

Selepas 6 tahun mengecap kejayaan mengembalikan Baitul Muqaddis di takhta keagungan Islam. Pada hari Rabu, awal subuh 27 Safar 589 Hijrah bersamaan 1193 Masihi, Sultan Salahuddin al-Ayyubi pulang ke rahmatullah pada usianya 57 tahun di Damsyik Syria, dalam keadaan penuh zuhud.

Beliau meninggal dunia tanpa meninggalkan sebarang harta untuk diwarisi. Beliau dikatakan hanya memiliki 47 dirham wang perak dan satu dinar wang emas. Urusan penyelenggaraan jenazah ditanggung kosnya oleh keluarganya. Manakala kain kapannya diberikan oleh seorang menterinya.

posted by Jalan trabas @ 19:37  
0 Comments:
Post a Comment
<< Home